Error
  • JFTP::login: Unable to login
  • JFTP::write: Unable to use passive mode
  • JFTP::write: Unable to use passive mode
  • JFTP::write: Unable to use passive mode
  • JFTP::write: Unable to use passive mode
  • JFTP::write: Unable to use passive mode

Sempena Pendaftaran Pelajar Baru Kolej Islam As - Sofa

 

"Memelihara tradisi pengajian ilmu Islam"

Oleh WARTAWAN YAYASAN SOFA

(Nota: Lebih 150 pelajar baru mendaftar di Kolej Islam As-Sofa pada Isnin, 4 Jun 2012)

KUALA LUMPUR - Mungkin ramai yang tidak menduga di tengah kepesatan kotaraya ini terdapat taman rohani yang menyiram hati-hati yang telah lama gersang.

Demikianlah peranan yang dimainkan oleh Kolej Islam As-Sofa yang bertindak sebagai penyubur bagi segala macam usaha memartabatkan ilmu pengetahuan tanpa mengira peringkat usia berbekalkan falsafah kesepaduan antara ilmu, iman, dan amal berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah yang menjadi dasar ke arah melahirkan insan yang bertaqwa dan berketrampilan.

Biasanya kolej-kolej seumpama ini hanya menumpukan program bagi para pelajar yang ingin memperoleh diploma dalam sesetengah bidang sahaja, berlainan dengan Kolej Islam As-Sofa yang menyajikan ilmu dan santapan rohani bagi yang tua mahupun muda.

 

Bertemu dan beramah mesra dengan Ketua Eksekutifnya Ustaz Abdullah bin Abdol Razak memberikan banyak gambaran sebenar mengenai kolej ini.

Ditanya berkenaan pemilihan nama kolej ini, beliau menyatakan, “As-Sofa asalnya adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud suci dan murni. Pemilihan nama ini melambangkan komitmen kolej ini kepada faham ilmu dan pengetahuan yang murni dan suci serta bebas daripada sebarang penyelewengan.”

“Kami di sini seboleh-bolehnya berusaha menggabungkan antara kekayaan tradisi dan dinamika perkembangan semasa. Di samping itu, kami turut merasa terpanggil untuk memikul tanggungjawab memelihara warisan ilmu dan tamadun Islam serta menyebarluaskan nilai-nilai Islam mengikut lunas yang tepat dan syumul demi mencapai kemajuan serta kebajikan manusia sejagat kerana ia adalah matlamat atau tujuan asal kita diciptakan,” katanya.

Demikian penjelasan anak muda graduan Universiti Aali al Bayt Jordan yang baru mencecah usia 26 tahun ini.

Beliau juga menambah, "Adalah menjadi cita-cita kami melahirkan sarjana dan cendikiawan yang berketrampilan dalam bidang ilmu masing-masing di samping berkeperibadian mulia, juga memperkasakan jalinan kerjasama saintifik dan budaya dengan kolej dan institusi lain seluruh dunia. "

"Sememangnya perjuangan mengembangkan ilmu dan menyuburkan budaya intelek perlu menjadi budaya masyarakat. Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang ingin menonjolkan Malaysia sebagai hab ilmu di rantau ini bahkan di seluruh pelusuk dunia.”

Menurut Ustaz Abdullah lagi, kolej ini nanti akan menawarkan beberapa program diploma di antaranya Diploma Syariah, Usuluddin, Pentadbiran Islam dan Kewangan Islam.

Subjek-subjeknya akan diajar oleh para pensyarah dari graduan-graduan Institusi Pengajian Tinggi yang diiktiraf oleh JPA dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Kami di Kolej Islam As-Sofa teramat menekankan aspek penggunaan waktu dan berhemah dan tidak mahu pelajar membazirkannya begitu sahaja. Oleh yang demikian kami berusaha memanfaatkan dan mengisi waktu mereka dengan perkara-perkara bermanfaat.

"Demikian juga kami menyusun dan memohon untuk memendekkan cuti pengajian yang panjang agar program diploma yang bakal dijalankan di kolej ini nanti dapat ditamatkan dalam tempoh yang paling singkat iaitu 2 tahun sahaja,”jelasnya.

Menurut Pengarah Akademik kolej Ustaz Muhammad Sufi Ibrahim, “kolej ini seboleh-bolehnya ingin mendekati umat Islam di setiap peringkat usia. Kami dalam rangka menyediakan pelbagai kursus dan khidmat kepada masyarakat Islam baik seperti diploma pengajian Islam yang diiktiraf oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Kursus Miftah Ilmi yang merupakan intensif bagi lepasan SPM, tuisyen, Kelas Al-Quran bagi peringkat dewasa dan kanak-kanak juga kelas-kelas pengajian ilmu turath bagi masyarakat umum. Itulah yang kami rasakan sedikit keunikan pada Kolej Islam As-Sofa berbanding dengan kolej-kolej yang lain,” jelasnya.

Kolej Islam As-Sofa ini juga turut memiliki keistimewaannya yang tersendiri di mana ia menjalin hubungan erat dengan pakar-pakar akademik Ahli Sunnah wal Jamaah di serata pelusuk dunia dari pelbagai kepakaran dan disiplin ilmu.

 

KONSEP PENUBUHAN

Dalam rangka untuk menawarkan alternatif pendidikan tinggi dan pusat kecermerlangan Islam, Kolej Islam As-Sofa akan sentiasa berusaha membina generasi berilmu untuk kepentingan keluarga, masyarakat dan negara tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap amalan keagamaan Islam dalam membentuk nilai-nilai murni yang menjadi tonggak pembangunan masyarakat Malaysia berlandaskan aqidah Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah.

Amalan penawaran pendidikan tinggi untuk program Islam sudah banyak dan berkembang, oleh itu Kolej Islam As-Sofa mengambil peluang untuk bersama-sama dalam meningkatkan sektor pendidikan. Dalam masa yang sama kami juga ingin menarik lebih ramai pelajar dan para profesional untuk bersama-sama dalam menegakkan perjuangan Islam yang sebenarnya.

Pendidikan sepanjang hayat akan menjadi dasar Kolej Islam As-Sofa selaras dengan dasar kerajaan bagi mencambahkan pusat penyelidikan dan kecemerlangan Islam. Kolej Islam As-Sofa merancang untuk menjadi pusat penyelidikan Islam.

Di antara ciri-ciri khusus yang akan diwujudkan ialah pengkajian manuskrip-manuskrip nadir, terjemahan dan sebaran teks-teks tradisi dan pembudayaan pengajian Islam bersanad.

Ini terbukti dengan kewujudan graha kajian dan penyelidikan Islam yang kami namakan sebagai Bayt Al-Hikmah.

Bayt Al-Hikmah adalah gedung ilmu, pusat kajian dan penyelidikan yang turut menjadi kebanggaan Kolej Islam As-Sofa. Ia menambahkan lagi keunikan kolej ini di mana ia menjadi perpustakaan yang menyimpan 5,000 naskhah kitab-kitab rujukan khusus bagi lapangan pengajian Islam.

 

 

 

APA KATA PELAJAR

Kesempatan meninjau suasana di Kolej Islam As-Sofa juga memberi peluang berbual-bual dengan beberapa orang penuntutnya yang begitu bersemangat menjalani kursus Miftah Ilmi sesi 2012.

Nur Aifaa Nawawi, 18 berkata, "Alhamdulillah, setelah empat bulan berada dalam kursus anjuran Kolej Islam As-Sofa, pelbagai perkara baru yang bukan sahaja berguna sebagai persediaan sebelum melangkah ke IPTA/IPTS. Di sinilah saya mengenali bagaimana adab itu amat perlu digandingkan dengan ilmu, mahabbah Rasulullah SAW dan pelbagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.”

Peserta dari Langkawi Kedah itu menambah lagi, "Paling penting, kolej ini bukan sahaja memberikan pendidikan jasad, bahkan mendidik jiwa dan roh untuk mencintai ilmu tersebut dan mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.”

Menurut Muhammad Faris bin Zulkipli, 18, pula, "Kursus Miftah Ilmi banyak mengajar kami perkara-perkara baru yang kami tidak ketahui sebelum ini. Contohnya kepentingan adab terhadap guru, ibubapa dan manusia di sekeliling kita. Apabila berada di bawah naungan Kolej Islam As-Sofa ini, kami merasakan seolah-olah berada dalam sebuah keluarga kerana masing-masing mementingkan ikatan ukhuwwah antara satu sama lain.”

Bagi Muhammad Najib ,19, kesempatan menyertai kursus di sini memberikan seribu makna yang mendalam dalam diri. “Alhamdulillah, program ini mewujudkan rasa kasih sayang yang lebih mendalam kepada Rasulullah SAW. Kami dapat mempelajari kitab-kitab lama dan moden secara sistematik daripada ulama yang diiktiraf keilmuan mereka,” jelasnya.